X

Kindly register in order to view this article
!

Lima beranak berhimpit dalam kabin

Kabin kecil yang dibinanya menjadi kediaman buat mereka lima sekeluarga.
A
A

BAGAN SERAI - Lima beranak terpaksa berteduh di dalam sebuah kabin kecil selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kubu Gajah, Gunung Semanggol di sini pada Julai tahun lalu.

Shahrunizam Jamhari, 49, berkata, dalam tempoh setahun itu mereka terpaksa menumpang di rumah keluarganya berhampiran sebelum memutuskan untuk membina kabin berkenaan buat keluarganya sejak seminggu lalu.

Dia yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) mengakui pendapatannya kini turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengimbau kejadian itu, Shahrunizam berkata, dia mengetahui insiden kebakaran yang meranap rumahnya ketika bertugas di sebuah majlis di Selama.

"Selepas menerima panggilan itu, saya bergegas pulang dan isteri, Zanariah Mat, 47, menceritakan kebakaran itu bermula dari bahagian dapur sebelum merebak memusnahkan keseluruhan rumah.

"Kejadian itu turut memusnahkan peralatan elektrik miliknya seperti mesin basuh dan televisyen milik pelanggan," katanya ketika ditemui media di sini pada Khamis.

Kediaman milik Shahrunizam yang musnah dalam kebakaran tahun lalu masih belum dibaik pulih.
Kediaman milik Shahrunizam yang musnah dalam kebakaran tahun lalu masih belum dibaik pulih.

Menurutnya, keputusan tinggal di kabin itu adalah terbaik meskipun dia dan anak-anak berusia 10, 13 dan 15 tahun terpaksa bersesak tidur pada waktu malam.

"Selain itu, ia memudahkan kami untuk membersihkan dan membaik pulih rumah bantuan Baitulmal itu secara perlahan-lahan.

"Penggunaan elektrik dan air pun 'ditarik' dari rumah saudara bersebelahan. Walaupun tidak selesa, ini sahaja yang kami mampu," katanya.

Kisah kehidupan keluarga itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang turut turun padang melawat keluarga itu.

Razman berkata, pihaknya berusaha membantu mendapatkan sebuah rumah sewa untuk didiami keluarga berkenaan dengan kos dibiayai sepenuhnya Pusat Khidmat DUN Gunung Semanggol.

Razman menghulurkan bakul makanan ketika turun padang melawat Shahrunizam.
Razman menghulurkan bakul makanan ketika turun padang melawat Shahrunizam.

"Baik pulih rumah ini akan disegerakan memandangkan keluarga ini tiada tempat tinggal lain dan mereka telah menanti bantuan rumah ini hampir setahun lamanya dengan kos dianggarkan RM50,000.

"Rumah ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan dan dalam tempoh itu, kita akan mencarikan rumah sewa berhampiran yang lebih selesa buat keluarga ini," katanya yang turut menyampaikan bakul makanan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!