PTPTN semak sistem pembayaran pinjaman

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melakukan satu semakan penuh berhubung sistem pembayaran pinjaman badan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia susulan terdapat kes akaun peminjam PTPTN yang didapati masih aktif biarpun pinjaman sudah dilangsaikan untuk tempoh yang lama dan meminta agar siasatan segera dijalankan.

“Setakat yang saya dimaklumkan, kes tersebut telah diselesaikan tetapi kebimbangan saya ialah jangan jadi (berulang) lagi selepas ini. Oleh itu, saya telah mengarahkan satu semakan sepenuhnya diadakan untuk menghalang kelemahan sama berulang,” katanya.

Wan Saiful ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan terhadap proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti USCI Kampus Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tular di media sosial membabitkan seorang peminjam PTPTN yang telah lama melangsaikan bayaran pinjamannya, namun dikatakan masih terdapat baki 1 sen yang belum dilangsaikan.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan moratorium melibatkan pinjaman PTPTN, Wan Saiful menjelaskan, masih terdapat ramai dalam kalangan peminjam yang memilih untuk meneruskan pembayaran bulanan mereka, walaupun ditawarkan kemudahan berkenaan.

Semasa moratorium dilaksanakan, katanya masih terdapat pembayaran berjumlah antara RM100 dan RM200 juta setiap bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: