Bayi usia setahun derita kanser otak tahap empat

Nurul Asyikin dan Mohamad Zainal sayu menunjukkan keadaan Muhammad Adam Zikri sebelum dan selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi merawat kanser otak yang dihidapinya.
Nurul Asyikin dan Mohamad Zainal sayu menunjukkan keadaan Muhammad Adam Zikri sebelum dan selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi merawat kanser otak yang dihidapinya.
A
A
A

POKOK SENA - Pasangan suami isteri dari Kampung Nawa, Pokok Sena pilu melihat bayi lelaki mereka yang berusia setahun diuji menghidap penyakit kanser otak tahap keempat dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ibunya, Nurul Asyikin Mustafa, 26, berkata, anak keduanya, Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal telah menjalani dua kali pembedahan dan juga kimoterapi.

Menurutnya, penyakit anaknya itu dikesan pada 29 Mac selepas mengalami demam yang panjang dan muntah.

"Semasa anak jatuh sakit, doktor memberitahu dia kekurangan garam dalam badan, tetapi demamnya masih juga tidak kebah selepas diberikan air garam.

"Sehinggalah pada 28 Mac semasa Adam dimasukkan ke wad dan pemeriksaan lanjut dibuat, doktor mengesan terdapat air di bahagian kepala.

"Pembedahan dilakukan untuk membuang air dengan memasukkan tiub bagi mengalirkan air dari kepala ke perut," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Nawa, Pokok Sena pada Selasa.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Sahabat Charity Balqis (SCB), Rukiza Abu Bakar yang hadir menghulurkan sumbangan dan lampin pakai buang.

Sementara itu, bapa Muhammad Adam Zikri, Mohamad Zainal Mohd Khamis, 29, berkata, anaknya itu sekali lagi menjalani pembedahan pabila doktor mengesan satu lagi ketumbuhan di belakang kepalanya pada 30 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adam Zikri.
Muhammad Adam Zikri.

"Sayu hati melihat keadaannya. Sebelum ini Adam sudah menjalani rawatan kimoterapi pada 13 Mei dan 28 Jun lalu.

"Selepas kimoterapi, Adam tidak seaktif dulu selain rambutnya juga gugur kesan daripada rawatan yang sedang diterimanya," katanya yang sempat melihat Muhammad Adam Zikri selama 10 minit bersama isteri semasa melawatnya beberapa hari lalu di HSB.

Menurutnya, doktor menjangkakan hayat anaknya itu mampu bertahan sehingga setahun namun dia dan isteri menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT dan kini sebagai ibu bapa dia mahu memberikan rawatan terbaik untuk anak mereka.

"Anak sulung kami, Nur Arriana Zarrisha, 4, juga dikesan menghidap kanser tiriod sejak lahir dan dia perlu dirujuk ke HSB bagi mendapatkan rawatan berkala setiap dua bulan.

"Syukur keadaan Nur Arriana baik sahaja dan kami sebagai ibu bapa mahu memberikan yang terbaik kepada kedua-dua anak kami," ujarnya.

Mohamad Zainal yang bekerja sebagai buruh kontrak berkata, dia memperoleh pendapatan sekitar RM800 sebulan namun kini tidak dapat bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami sekeluarga bergantung pada simpanan, sumbangan orang ramai termasuk duit pengeluaran i-Lestari selepas mendapat perhatian Cancer Survivor Malaysia (CSM).

"Rumah yang kami diami sekarang dibaik pulih hasil kerjasama CSM bersama Jabatan Penjara Malaysia. Wang yang sedia ada kami guna secara jimat cermat sebab perlu digunakan untuk membiayai pelbagai kos rawatan Adam dan membeli lampin pakai buang untuknya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Nurul Asyikin, boleh menghubunginya di talian 017-4306631.