Rumah sedang diubah suai jadi sasaran Geng Vade

Shamsul Amar (tengah) menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan samun.
Shamsul Amar (tengah) menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan samun.
A
A
A

KLANG - Mensasarkan rumah yang sedang diubahsuai sebagai 'target' untuk melakukan jenayah samun, itu modus operandi Geng Vade yang berjaya ditumpaskan susulan tertangkapnya dua lelaki di sekitar daerah ini, pada jam 4 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 34 dan 35 tahun ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

"Pelbagai barang disyaki hasil samun telah dirampas antaranya alat pemotong mosac, gerudi, segulung wayar dan amplifier.

"Suspek kini direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Dalam pada itu, semakan rekod yang dibuat terhadap suspek ini mendapati salah seorang daripada mereka memiliki tujuh rekod lampau termasuk tiga kes dadah.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

Manakala, suspek kedua pula memiliki dua rekod dadah.

Katanya, siasatan polis juga percaya geng ini terlibat dalam tiga kes samun melibatkan rumah yang sedang diubah suai di sekitar Klang selain satu kes curi motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan sama ada terdapat saki-baki ahli kumpulan terbabit," katanya.

Terdahulu, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Mewah Jaya, Klang, di mana sekumpulan suspek yang bertopi keledar dan bersenjatakan parang memanjat pagar rumah tersebut.

"Terdapat dua pekerja pengubah suai rumah ketika kejadian. Suspek terbabit telah mengacu parang dan menampar muka serta menendang rusuk mangsa sebelum mengurung mangsa ini di dalam bilik sebelum melarikan pelbagai barangan berharga," katanya.