'Musang King Tanah Merah' bakal ke pasaran dunia

Mohd Lutfi menunjukkan musang king atau raja kunyit yang berasal dari Tanah Merah.
Mohd Lutfi menunjukkan musang king atau raja kunyit yang berasal dari Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH – Sekumpulan pengusaha durian Musang King Tanah Merah (MKTM) merancang untuk memasarkan durian berkenaan ke serata dunia menjelang 2025 nanti berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap raja buah itu.

Presidennya, Mohd Lutfi Yusoff berkata, sehingga kini seramai 90 ahli komuniti MKMT yang terlibat dalam penanaman durian musang king membabitkan keluasan lebih 121 hektar di Tanah Merah.

Menurutnya, bersesuaian dengan sejarah musang king yang berasal dari kawasan berkenaan, maka pihak MKTM mahu pasarannya diperluaskan lagi dengan menggerakkannya melalui komuniti yang ditubuhkan.

"Mereka bangunkan tanah-tanah ini secara komersil supaya ia dapat mengikut spesifikasi yang betul bagi mendapatkan pulangan yang terbaik selepas ini.

"Ada yang baharu ditanam dan ada juga yang sudah tiga ke empat tahun ditanam. Ketika kebanyakannya bekalan hanya untuk pasaran dalam negara sahaja dan masih belum cukup untuk dipasarkan kepasaran luar," katanya ketika ditemui semasa meninjau kebun salah seorang pengusaha MKTM di Tanah Merah.

Mohd Lutfi (dua dari kiri) dan Mohd Nazmin (kanan) bersama komuniti MKTM memegang durian musang king di kebun salah seorang ahlinya.
Mohd Lutfi (dua dari kiri) dan Mohd Nazmin (kanan) bersama komuniti MKTM memegang durian musang king di kebun salah seorang ahlinya.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd Nazmin Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Lutfi berkata, selaras dengan perancangan untuk memasarkan durian musang king ini ke pasaran luar negara, maka pihaknya akan memperbesarkan lagi pengeluaran selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam tempoh empat tahun lagi (2025) pihaknya menjangkakan pengeluaran mampu ditingkatkan kepada lebih 1,000 tan sekali gus membolehkan mereka mengeksport durian musang king MKMT ke luar negara.

"Durian musang king MKMT yang memiliki isi kekuningan dan lemak manis, bertangkai serta mempunyai 'tapak sulaiman' di badan buahnya adalah antara ciri-ciri utama yang tidak ada pada durian lain.

"Jadi dengan keunikan dan keaslian ini akan menjadikan durian musang king MKMT ini antara salah satu buah yang mahal di pasaran sehingga mencecah ratusan ringgit," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga akan terus mempertahankan keaslian dimiliki durian musang king di sini termasuklah hasil yang bakal dieksport nanti dan mampu menarik pasaran luar walaupun harganya mahal.

Mohd Lutfi (kiri) dan Mohd Nazmin sentiasa memastikan durian dihasilkan komuniti MKTM terjaga dan berkualiti.
Mohd Lutfi (kiri) dan Mohd Nazmin sentiasa memastikan durian dihasilkan komuniti MKTM terjaga dan berkualiti.

Katanya, bagi memastikan kualiti sentiasa terjaga dan sebagainya, pihaknya mewajibkan setiap komuniti yang ada dalam MKTM menyertai mesyuarat 'SOP Takir' yang dilaksanakan untuk perkongsian ilmu dan idea, selain mendapatkan nasihat serta kerjasama daripada pelbagai agensi terutamanya daripada Jabatan Pertanian Negeri.

"Dengan penjagaan yang sangat teliti durian ini mampu berbuah dalam masa tiga tahun dan mampu mengambil masa maksimum lima hingga ke enam tahun dengan penjagaan secukupnya.

“Bagaimanapun dengan adanya SOP Takir dan nasihat-nasihat serta perkongsian ilmu ini, mungkin kita boleh tambah baik lagi cara tanaman dan sebagainya untuk perancangan pasaran lebih besar selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai komuniti MKTM, Mohd Lutfi berkata, usahawan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya ialah guru, pensyarah, polis dan termasuklah mereka yang bekerja swasta serta mereka yang sudah pencen.