Juara Seluruh England azimat Zii Jia

Zii Jia menjadi antara prospek terbaik Malaysia dalam merangkul pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Zii Jia menjadi antara prospek terbaik Malaysia dalam merangkul pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu membawa aura juara Seluruh England apabila membuat penampilan sulung di pentas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti.

Zii Jia berkata, kejayaan merangkul gelaran Seluruh England di Birmingham pada Mac lalu menjadi tonik terbaik baginya untuk memburu kejayaan pada Sukan Olimpik kali ini.

“Sehingga hari ini, saya rasa keyakinan itu masih ada dan saya berharap aura (juara Seluruh England) itu akan dapat membantu saya meraih keputusan yang positif pada Sukan Olimpik nanti.

“Aura dan permainan konsisten ini akan dibawa sebagai bekalan apabila tiba di Tokyo nanti. Saya juga tidak fikir mengenai status bukan pilihan ataupun pemain pilihan.

“Apa yang penting saya fokus kepada diri sendiri. Saya akan berikan yang terbaik jika diundi berdepan dengan sesiapa pun,” katanya dalam sidang media kontinjen Malaysia Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara maya pada Isnin.

Pada masa sama, Zii Jia berkata, dia mengambil sikap lebih berwaspada terhadap ancaman dua pemain handalan China, Chen Long dan Shi Yuqi.

“Ini situasi kali pertama mereka akan beraksi di Olimpik tapi tidak menyertai mana-mana kejohanan. Kita tidak tahu tahap mereka sekarang. Namun, saya masih mempunyai keyakinan selepas muncul juara Seluruh England,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, barisan pemain negara kini sudah dipersiapkan dari segi fizikal dan mental dalam misi memburu pingat.

Artikel Berkaitan:

“Sudah sememangnya kami mengharapkan untuk membawa pulang pingat. Kami akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin pingat kerana lebih banyak pingat yang dimenangi, ia lebih baik.

“Apa pun, warna pingat itu hanya boleh ditentukan berdasarkan kepada prestasi pemain. Keputusan yang baik datang daripada persiapan yang baik,” katanya.

Untuk rekod, skuad badminton telah menyumbang lapan pingat (enam perak dan dua gangsa) buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik.

Gandingan Razif Sidek-Jalani Sidek muncul penyumbang pertama pingat apabila meraih gangsa pada Olimpik 1992 di Barcelona sebelum pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock membawa pulang perak pada Olimpik Atlanta 1996.

Bekas pemain perseorangan lelaki, Rashid Sidek turut cemerlang apabila menghadiahkan pingat gangsa pada temasya Olimpik 1996 di Atlanta.

Bekas jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei unggul dengan meraih pingat perak dalam tiga edisi - Olimpik Beijing 2008, Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016.

Dua gandingan - Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) turut membawa pulang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.