Hup Wei intai pentas akhir Tokyo 2020

Lee Hup Wei
Lee Hup Wei
A
A
A

ATLET lompat tinggi negara Lee Hup Wei yang bakal membuat penampilan Olimpik ketiga, menyasarkan untuk mencipta sejarah sebagai atlet olahraga pertama negara ke peringkat akhir acara itu pada temasya sukan berkenaan.

Berdasarkan keputusan Rio 2016, atlet berusia 34 tahun itu perlu melepasi ketinggian dalam lingkungan 2.26 meter pada pusingan kelayakan untuk menempah tempat di peringkat akhir.

Pada temasya 2016, rakan sepasukan Nauraj Singh Randhawa serta lapan lagi atlet lompat tinggi terlepas peluang untuk muncul sebagai 15 finalis sekalipun berjaya melepasi ketinggian 2.26m, disebabkan mereka gagal melakukannya pada lompatan pertama.

Hup Wei yang akan menamatkan kuarantin wajib di Kompleks Sukan Kampung Pandan pada Rabu ini, berdepan tugas sukar kerana hanya mampu melepasi ketinggian 2.10m, catatan terbaiknya pada musim ini yang dibuat di Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Kazakhstan baru-baru ini.

Berbaki kira-kira dua minggu sebelum berlepas ke temasya sukan terbesar dunia itu, Hup Wei berharap dapat membaiki catatan peribadi terbaiknya 2.29m pada Olimpik Tokyo, yang mana pusingan kelayakan bagi acara sukan itu dijadualkan pada 30 Julai.

“Dua minggu terakhir ini penting bagi saya menajamkan lagi teknik dan membaiki prestasi untuk bersaing di Olimpik Tokyo. Sebaik sahaja tempoh kuarantin saya tamat, saya akan segera kembali ke (Kompleks Sukan) Bukit Jalil untuk melakukan persiapan akhir bersama jurulatih (Aleksandar Gasparyan).

“Saya dapat melepasi 2.20m semasa latihan di Kazakhstan, namun terpaksa berhenti bersaing selepas mengalami kecederaan buku lali. Kini saya sudah pulih dan saya mahu memberikan yang terbaik di Tokyo,” katanya.

Juara Asia 2007 itu layak ke Tokyo 2020 selepas menempatkan diri di ranking ke-23 Olahraga Dunia dengan 1,235 mata, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam acara lompat tinggi lelaki untuk empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Artikel Berkaitan:

Pada Beijing 2008, Hup Wei menamatkan saingan di tangga ke-32 selepas melepasi 2.20m manakala pada 2012, atlet kelahiran Kajang itu berakhir di kedudukan ke-27 dengan lompatan terbaik 2.16m.

Juara tiga kali Sukan SEA itu mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak ke final pada Kejohanan Olahraga Dunia pada 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, di mana beliau mencipta rekod peribadi 2.29m.

Hup Wei menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 12 finalis pada saingan dunia itu.