Hikmah kibar bendera putih, lima beranak dapat rumah baharu

Syed Sidiq Abudin bersama tiga anaknya bersyukur dan gembira berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa di Rumah Pangsa Kampung Padang, Melaka pada Sabtu.
Syed Sidiq Abudin bersama tiga anaknya bersyukur dan gembira berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa di Rumah Pangsa Kampung Padang, Melaka pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Lima beranak yang terpaksa tinggal di bilik kecil di Jalan Munshi Abdullah di sini akibat kesempitan hidup, bersyukur kerana akhirnya berpindah ke kediaman baharu di Rumah Pangsa Kampung Padang di sini pada Sabtu.

Malah, Syed Sidiq Abudin Syed Abdul Aziz, 42, menyifatkan doanya selama ini untuk mendiami kediaman lebih baik telah dimakbulkan ALLAH.

Syed Sidiq Abudin berkata, perpindahan ke rumah baharu menjadi titik permulaan kepadanya yang mempunyai kemahiran membaiki paip untuk mencari pekerjaan dalam masa terdekat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, rumah baharu yang dilengkapi dua bilik serta mempunyai kemudahan tandas di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dianggap sebagai hikmah serta rezeki tidak diduga selepas dia menggantung bendera putih pada Selasa lalu.

Katanya, ia juga merupakan 'hadiah' untuk anak-anak yang bertahun-tahun terpaksa berhimpit tinggal di bilik kecil dan berkongsi tandas dengan penyewa lain.

"Alhamdulillah syukur dengan bantuan yang diberikan pelbagai pihak sama ada orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan. Selama tiga tahun bersabar dan berdoa, akhirnya dimakbulkan.

"Saya sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib kami termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut membantu menguruskan perpindahan kami sekeluarga," katanya di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tiga anak Syed Sidiq Abudin teruja melihat persekitaran rumah mereka di Rumah Pangsa Kampung Padang, Melaka pada Sabtu.
Tiga anak Syed Sidiq Abudin teruja melihat persekitaran rumah mereka di Rumah Pangsa Kampung Padang, Melaka pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bendera putih 'bongkar' lima beranak tinggal di bilik kecil

Syed Sidiq Abudin berkata, anak bongsunya yang berusia 10 tahun akan didaftarkan ke madrasah, manakala dua lagi anak lelakinya akan meneruskan persekolahan di sekolah sama.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Muhammad Ayyad Abdullah berkata, keluarga berkenaan diberikan bantuan sewa rumah selain beberapa keperluan lain.

"Malah Ketua Menteri juga memberikan sumbangan untuk keluarga ini membeli sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan termasuk ke tempat kerja memandangkan selama ini dia hanya bergerak dengan basikal," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat menyiarkan tindakan Syed Sidiq Abudin dan isterinya menggantung bendera putih di luar tingkap bilik sehingga membongkar kehidupan mereka lima beranak mendiami sebuah bilik kecil di Jalan Munshi Abdullah di sini sejak tiga tahun lalu.

Bilik tingkat tiga berkeluasan 3.6 x 6.1 meter yang disewa dengan kadar bayaran RM350 sebulan merupakan bangunan bekas hotel bajet.