Penduduk terputus bekalan makanan boleh ambil di PKOB atau PKWR

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan terus menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, orang ramai boleh menghubungi PKOB dan PKWR di daerah masing -masing kerana ia dilengkapi sistem dan mekanisme pengagihan terbaik selain selamat untuk semua pihak.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan lebih 100,000 bakul makanan kepada rakyat yang memerlukan sejak lebih setahun negara berdepan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) bermula PKP 1.0 hingga terkini, termasuk ketika Kedah dikenakan PKPB (Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPD (Pergerakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan).

"Puluhan ribu lagi turut diedarkan melalui PKWR DUN dan Parlimen.

Sebagai wakil rakyat, bantulah rakyat yang dalam kesusahan mengikut posisi, keupayaan dan kesanggupan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, pada masa sama, pihaknya perlu memastikan tiada bantuan berganda-ganda disalurkan kepada rumah yang sama.

"Kita perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP, mengehadkan orang mundar-mandir dan kita akan beri lebih jika perlu. Kita hantar ke rumah supaya orang ramai tidak perlu bersesak keluar," katanya.

Menurutnya, kejiranan dan sanak saudara boleh menghubungi pihak berkenaan untuk memaklumkan terdapat keluarga yang memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Kita lebih kenal jiran dan sanak saudara sekampung. Jika tidak dapat hubungi sendiri, mereka boleh hubungi pihak berwajib. Ini cara Kedah.

Malah PKWR ADUN dan ahli Parlimen kerajaan turut menghulurkan bakul makanan dan pelbagai jenis bantuan secara berterusan, tanpa menghentam sesiapa, tanpa pilih bulu, tanpa mempolitikkan sumbangan dan tanpa bendera," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kakitangan agensi kerajaan yang bertugas di PKOB dan petugas PKWR bekerja siang malam membantu di setiap lorong dan kampung jika terdapat panggilan atau makluman melalui apa sahaja cara.

"Kami memantau setiap masa menerusi kerjasama Pegawai Daerah hinggalah ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," katanya.

Menurutnya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut menyediakan food bank di 578 buah masjid sejak setahun lalu secara percuma.

"Saya faham maksud menaikkan bendera putih sebagai satu inisiatif murni NGO yang prihatin, tetapi apabila ia mula dirampas dan dijadikan alat politik oleh pembangkang untuk menggambarkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terputus bekalan makanan, ia sudah tidak putih lagi. Campur tangan mereka itu membawa kepada kecomotan niat murni itu," katanya.

Beliau kesal kerana pembangkang seperti baru bangun daripada tidur dan tiba-tiba bercakap tentang bendera putih, bukannya mengenai jumlah bakul makanan yang telah disumbangkan.

"Adakah bila lebih banyak bendera putih dinaikkan, lebih baik bagi politik untuk Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP? Semua wakil rakyat pembangkang boleh membantu mereka yang perlukan bakul makanan dengan menyalurkan maklumat kepada PKOB," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, mereka juga boleh salurkan nama keluarga terjejas kepada wakil rakyat kerajaan untuk tindakan.

"Pejabat saya pernah menghantar bakul makanan kepada 23 penama yang dikirim oleh Ketua Pembangkang DUN Kedah dalam DUN beliau. Ia tidak sedikit pun menyusahkan, ia kegembiraan buat kami untuk terus membantu," katanya.

Menurutnya, mekanisme penyampaian bantuan sedia ada ini akan terus terpakai di Kedah.

"Kedah cara Kedah. Tanpa bendera apa pun, kita telah lama menghulurkan tangan meringankan beban. Kedah ini kami jadikan tempat berteduh orang miskin, tempat berbakti bagi orang kaya," katanya.