Kanak-kanak maut kena renjatan elektrik

Lokasi kejadian kanak-kanak lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Tembiluk, Mengkabong, Tuaran.
Lokasi kejadian kanak-kanak lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Tembiluk, Mengkabong, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Seorang kanak-kanak lelaki melecur separuh badan sebelum disahkan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Tembiluk, Mengkabong, pada Jumaat.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, mangsa yang berusia 10 tahun itu cuba mengambil layang-layangnya yang tersangkut pada tiang elektrik di kawasan tanah lapang bekas sawah padi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakannya bermain layang-layang di kawasan itu.

"Bagaimanapun, layang-layang itu tersangkut menyebabkan mangsa bertindak menggunakan batang besi untuk mengait layang-layang itu sebelum terkena renjatan elektrik dan terus tidak sedarkan diri.

"Bapa mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh adik iparnya yang melihat mangsa terbaring di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mangsa dikatakan cuba mengambil layang-layangnya yang tersangkut pada tiang elektrik di kawasan tanah lapang bekas sawah padi.
Mangsa dikatakan cuba mengambil layang-layangnya yang tersangkut pada tiang elektrik di kawasan tanah lapang bekas sawah padi.

Mohd Hamizi berkata, mangsa yang melecur separuh badan kemudian disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuaran.

"Mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Tuaran bagi mematuhi prosedur operasi standard (​SOP) Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada tanda-tanda mencurigakan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang tempoh tidak bersekolah bagi memastikan mereka tidak melakukan aktiviti yang mengancam keselamatan diri.