Jangan hukum Pas kerana isu dana RM90j

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen Pas yang proaktif menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan petanda positif buat negara.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, setiap sokongan yang diterima oleh kerajaan baharu harus dilihat daripada sudut positif apatah lagi situasi kerajaan kini berdepan kemelut mewarisi masalah besar daripada kerajaaan terdahulu.

"Seperti yang kita sedia maklum, Pas adalah sebuah parti yang diwakili 18 Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan tentunya sokongan mereka memberi impak besar dan positif kepada negara.

"Justeru, saya hairan bagaimana sesuatu positif bagi negara dipandang negatif dalam segelintir kelompok PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menyatakan taat setia kepada PM (Dr Mahathir)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, setiap pemimpin yang taat dan komited kepada kepimpinan Dr Mahathir seharusnya mengalu-alukan komitmen Pas berbanding memaki hamun setiap hari.

"Selain itu, jangan terus menghukum Pas hanya disebabkan isu dana RM90 juta. Lagipun parti berkenaan bukan sebahagian daripada kerajaan hari ini yang boleh mempengaruhi proses siasatan.

"Biarkan siasatan dijalankan. Jika terdapat perkara yang melanggar undang-undang pasti mereka akan didakwa dan diadili," jelasnya lanjut.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak memanggil beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Pas, Nasharudin Mat isa bagi membantu siasatan isu dana RM90 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hari ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan tiada kemasukan dana berjumlah RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun Pas seperti yang didakwa sebelum ini.