Kenanga Investors umum pelancaran dana unit amanah KGGF, KGIF

Kenanga Investor
Kenanga Investor
A
A
A

KENANGA Investors Berhad (Kenanga Investors) mengumumkan pelancaran kesemua dana unit amanahnya iaitu Dana Kenanga Global Growth (KGGF) dan Dana Kenanga Global Islamic (KGIF).

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, KGGF yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2011 telah melaksanakan penyusunan semula (repositioning) dengan peralihan daripada tumpuan terdahulu kepada produk sumber seperti tenaga, mineral, pertanian dan industri berkaitan.

Menurutnya, dana tersebut kini menyasarkan matlamat mencapai pertumbuhan modal dengan membuat pelaburan terutama dalam ekuiti global dan sekuriti berkaitan ekuiti tertumpu kepada peringkat kedua sekuriti pendapatan tetap, produk berstruktur dan instrumen pasaran wang.

"KGGF akan ditanda aras dengan Indeks MSCI All Country World (MSCI ACWI), sekali gus menyokong strategi barbell Kenanga Investors yang mengutamakan tema pemulihan dan trend pertumbuhan berstruktur.

"Bagi KGIF, fokus pelaburan utamanya terus kekal untuk mencapai pertumbuhan modal dan pengagihan pendapatan yang kukuh dalam portfolio pelbagai berdasarkan prinsip-prinsip syariah, meskipun dalam ekuiti patuh syariah global dan sekuriti berkaitan ekuiti yang mematuhi syariah.

"Penanda arasnya ketika pelancaran semula ialah Indeks Dunia Pasaran Islam Dow Jones (DJIM World) yang mengukur prestasi ekuiti boleh labur seluruh dunia telah ditapis oleh kepatuhan pada syariah selaras dengan metodologi Indeks DJIM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tujuan pihaknya memperkenalkan dana-dana tersebut kepada pasaran untuk memberikan tahap pendedahan global yang lebih besar kepada pelanggannya.

Katanya, dengan melabur dalam pasaran global, pihaknya akan mempunyai skop lebih luas untuk memanfaatkan trend pertumbuhan sekular seperti pendigitalan, kenderaan elektrik, rangkaian 5G dan pemulihan semula dalam pasaran pasca Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Indeks saham yang menanda aras dana yang dilancarkan semula iaitu MSCI ACWI dan DJIM World juga telah menunjukkan pertumbuhan konsisten sepanjang 10 tahun lalu.

"Walaupun pelbagai kitaran ekonomi dan peristiwa ekonomi telah berlaku membuktikan bahawa dedahan global menjana pulangan menggalakkan dan menyediakan pempelbagaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, jelas beliau, pihaknya akan menggunakan strategi pelaburan aktif menggabungkan analisis pelaburan dari bawah ke atas terhadap syarikat yang mempunyai analisis makro dari atas ke bawah mengenai negara dan sektor dalam peruntukan aset.

Ujarnya, proses pelaburan adalah konsisten dengan falsafah syarikat untuk membuat pelaburan dalam syarikat yang menjana pertumbuhan perolehan dan memberikan pulangan memuaskan kepada modal, selain mengenal pasti syarikat-syarikat terkurang nilai.

"Faktor utama fokus termasuk kemampanan model perniagaan, rekod pencapaian pengurusan, pertumbuhan perolehan dan ketampakan serta pulangan ke atas modal.

"Dana tersebut sesuai untuk pelabur yang ingin mendapatkan pertumbuhan modal dalam jangka masa pelaburan sederhana hingga jangka panjang.

"Jumlah pelaburan minimum awal ialah RM5,000 dengan setiap pelaburan tambahan pada nilai RM200 untuk KGGF, manakala bagi KGIF, RM1,000 sebagai jumlah permulaan dengan RM100 bagi setiap pelaburan tambahan," katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai Kenangan Kenanga Investors Berhad, boleh melayari www.kenangainvestors.com.my.