X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Parlimen: Agong perlu ikut nasihat jemaah menteri

Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri untuk memanggil Parlimen bersidang mengikut Perkara 40(1), dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menjelaskan perkara itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh majlis akan bermesyuarat.

"Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda.

"Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata, Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Ujarnya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat jemaah menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan bolehlah dijalankan oleh Baginda atau jemaah menteri atau mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri.

"Peruntukan tersebut juga hendaklah dibaca bersama Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menghendaki Baginda untuk melantik jemaah Menteri bagi menasihatinya dalam penjalanan fungsi," katanya.

Idrus berkata, Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18.

"Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada dan bukanlah sebagai menggantikan kuasa yang diberikan atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuatkuasa.

"Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!