Jerman sedia 'naturalisasikan' Sancho

Jadon Sancho
Jadon Sancho
A
A
A

BEKAS pemain Jerman, Lothar Matthaus tidak memahami alasan England tidak mahu menggunakan Jadon Sancho dalam saingan Euro kali ini walaupun pemain itu beraksi cemerlang di Bundesliga.

Dalam nada bergurau, Matthaus berkata Jerman sedia untuk memberikan pasport kepada pemain itu untuk membolehkannya beraksi bersama Die Mannschaft sekiranya England tidak mahu menggunakan khidmat pemain sayap itu.

"Dia (Sancho) adalah seorang pemain terbaik di Bundesliga sejak dua tahun kebelakangan ini. JIka dia tidak cukup bagus untuk England, kami sedia memberikannya pasport Jerman.

"Ia mengejutkan ramai pihak di Jerman (tindakan England yang tidak memberikan peluang kepada Sancho bermain)," katanya.

Sancho yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund kurang diberikan kepercayaan bermain oleh pengendali England, Gareth Southgate pada saingan Euro 2020.

Pemain berusia 21 tahun itu diketepikan oleh Southgate pada perlawanan menentang Croatia, hanya memanaskan bangku simpanan ketika menentang England dan bermain hanya beberapa minit ketika menentang Republik Czech.

Sancho menjadi antara pemain terbaik di Eropah sejak menyertai Dortmund daripada Manchester City pada 2017 dengan meledak 50 gol dalam 137 perlawanan.

Pasukan The Three Lions itu berjaya mara ke kelompok 16 pasukan terakhir dan akan bertemu Jerman namun berhadapan dengan sentuhan penyudah yang kurang memuaskan selepas hanya mampu menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pertemuan Jerman dan England, Matthasu menyifatkan England mempunyai peluang untuk menang sekiranya perlawanan tidak diheret sehingga ke penentuan penalti.

"England ada peluang untuk menang tetapi tidak jika dengan sepakan penalti. Jika penalti, Jerman akan menang dan England perlu selesaikan perlawanan dalam tempoh 120 minit.

"Kami sentiasa bagus dengan penalti dan ia terbukti ketika kami bermain pada tahun 1990an dahulu. Ia menjadi satu tekanan kepada pemain England kerana mereka membaca laporan di akhbar setiap hari mengenai penalti itu," katanya.