X

Kindly register in order to view this article
!

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung hari ini

Istana Negara. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pandangan yang dikemukakan pemimpin politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak Rabu lepas hingga semalam akan disembah maklum kepada Raja-Raja Melayu dalam satu perbincangan khas di Istana Negara hari ini.

Beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, yang dijadual berlangsung pada 2.30 petang.

Perbincangan khas ini merupakan kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.

Kali pertama perbincangan khas berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Sejak Rabu lepas, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik dalam sesi yang berlangsung secara bersemuka dan maya di Istana Negara dan mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Tun Arifin Zakaria.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini

Agong gusar kes Covid-19 semakin meningkat

Muhyiddin tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka dan berkaitan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Pada 12 Januari lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan agar Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Foto Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!