Hina Nabi: KAMP mahu tindakan tegas

Ahmad Sukri (tengah) menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan terhadap individu menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
A
A

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Kebajikan Amal Maaruf Pribumi (KAMP) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan keras terhadap mana-mana pihak yang berani menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Presidennya, Ahmad Sukri Abdullah berkata, ia penting sebagai pengajaran kepada pihak lain berikutan kejadian menghina kesucian agama Islam dan Nabi Muhammad SAW semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Kita harap tindakan keras dapat diambil terhadap pihak terbabit kerana budaya menghina Islam sering kali berlaku sejak kebelakangan ini sekali gus jadi pengajaran dan tidak berulang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai berikutan tindakannya menghina Nabi Muhammad SAW dan isterinya, Saiditina Aisyah.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 3.30 petang bersama kira-kira 300 ahli pertubuhan tersebut yang lengkap berpakaian warna merah.

Ahmad Sukri berkata, selain pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai, pihaknya turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kejadian patung berhala diletakkan di pintu masuk surau Sabilul Huda, Taman Pandamar Indah, Pelabuhan Klang, Rabu lalu.