Dua individu dikompaun keluar kawasan PKPD

13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Barat Daya yang melibatkan kira-kira 10,000 penduduk pada 2 Jun lalu telah dikenakan PKPD kerana mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.
13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Barat Daya yang melibatkan kira-kira 10,000 penduduk pada 2 Jun lalu telah dikenakan PKPD kerana mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Dua individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang setelah didapati keluar tanpa kebenaran dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, dua individu yang merupakan seorang lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 23 tahun dikenakan kompaun ketika sepasukan polis menjalankan rondaan pematuhan PKPD di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mereka merupakan individu pertama yang dikenakan kompaun sejak PKPD dilaksanakan di 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Barat Daya yang melibatkan kira-kira 10,000 penduduk pada 2 Jun lalu.

"Dalam kejadian pertama melibatkan seorang lelaki yang didapati sedang melangkah keluar dari pagar (halangan) sempadan PKPD di tepi jalan Bayan Lepas, pada jam 7.30 pagi.

"Ketika ditanya, lelaki berkenaan tidak mempunyai alasan berbuat demikian dan hanya memberitahu ingin keluar dari kawasan PKPD tersebut sahaja," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian kedua pula, seorang wanita ditahan dan dikompaun selepas didapati telah keluar dari halangan sempadan kawasan PKPD dengan melalui jejantas pejalan kaki di Jalan Sultan Azlan Shah.

"Ketika rondaan dilakukan pada jam 11.45 pagi semalam, seorang wanita didapati sedang berjalan kaki dengan membawa topi keledar. Dia telah melangkah keluar dari halangan sempadan kawasan PKPD.

"Ketika ditanya, dia memberi alasan untuk keluar membeli makanan. Sehubungan itu, kita membawanya ke Balai Polis Bayan Lepas dan mengeluarkan kompaun kepadanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan berkata, kedua-dua individu tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 11(3) Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 2021.

"Saya memberi amaran kepada semua penduduk dan penghuni supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan. Jangan cuba keluar atau masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran.

"Sebarang bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin memberi barang keperluan asas kepada penduduk, mereka perlu melalui pejabat pusat kawalan operasi bencana (PKOB) untuk penyelarasan.

"Saya berharap penduduk yang terlibat dengan PKPD supaya terus bersabar dan mematuhi semua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan dalam usaha kita mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.