AMK saran moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil

Akmal Nasrullah memyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang diadakan secara webinar pada Sabtu.
Akmal Nasrullah memyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang diadakan secara webinar pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyarankan kerajaan memberikan moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan dalam mendepani kesan Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, cadangan itu demi kelangsungan kehidupan dan masa depan anak muda kerana ramai antara mereka menceburi perniagaan sendiri untuk menampung kehidupan.

Menurut beliau, AMK juga mencadangkan agar kerajaan mengembalikan subsidi upah dan memperkenalkan kemudahan pinjaman modal.

Katanya, bantuan diskaun 30 hingga 50 peratus dari jumlah sewaan tapak perniagaan juga perlu diberikan kerana kebanyakan pemilik tidak memberi diskaun dengan alasan kerana tiada moratorium automatik.

"Ini penting untuk menjamin pendapatan buat anak muda dan seterusnya mencari kaedah 'create the job'.

"Sekiranya anak muda terperangkap dalam belenggu permasalahan pada fasa ini tanpa bantuan secukupnya, ia akan memberikan beban berganda kepada anak muda untuk 'survive'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 bertemakan 'Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi' yang diadakan secara webinar pada Sabtu.

Akmal Nasrullah menegaskan, cadangan yang disuarakan itu menjadi pendekatan lebih drastik yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengekalkan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ia juga bagi mendepani isu pengangguran yang tertinggi dalam kalangan anak muda, peluang pekerjaan terhad dan dilema gaji rendah.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, AMK juga menggesa Menteri Pendidikan segera mempertimbangkan cadangan mereka agar 'task force' rentas parti yang turut melibatkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diwujudkan bagi menyelesaikan masalah keciciran generasi atau 'lost generation'.

"Cabaran terbesar anak muda bahkan juga kepada negara terutamanya dalam konteks hari ini dan masa depan kita adalah soal pendidikan.

"Apa yang lebih membimbangkan kini adalah hal berkaitan 'lost generation' yang hingga kini tidak kedengaran disentuh secara serius oleh menteri bertanggungjawab," katanya.

Tegasnya, 'lost generation' bukan isu picisan yang boleh diselesaikan dengan buka sekolah atau tutup sekolah seperti memetik suis lampu kerana ia berpotensi menjadi bom jangka yang meletakkan Malaysia ketinggalan beberapa tahun ke belakang.

"Saya ambil contoh sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sudah lebih satu tahun berjalan secara dalam talian. Rata-rata pihak mengakui PdPR tidak memberi impak yang besar kepada pemahaman pelajar.

"Pendekatan yang digunapakai selepas sesi pembelajaran lebih kepada memberikan soalan atau latihan yang perlu diselesaikan oleh pelajar. Adakah interaksi dalam talian dapat memenuhi kaedah tradisi ini? Sudah tentu jauh kurang berkesan berbanding sesi di sekolah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, guru tidak boleh disalahkan dalam situasi itu kerana mereka hanya melaksanakan arahan.

"Malah saya difahamkan guru-guru diminta menghantar laporan ke pihak jabatan saban hari, sejak dari PDPR1.0, apakah yang berlaku kepada data tersebut? Maka apa penyelesaian daripada menteri selepas setahun PdPR berjalan? Masih tiada beza.

"Itu belum ditanya tentang inisiatif 150,000 komputer riba yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, hingga tidak diselesaikan. Kenyataan terbaru kata akan selesai diagihkan pada September 2021," katanya.

Ujarnya, keadaan itu semua akan memberikan kesan dalam konteks 'lost generation' yang turut meliputi soal pendidikan tinggi.