Unit vaksinasi bergerak pastikan tiada rakyat tercicir

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam program vaksinasi tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, unit-unit vaksinasi bergerak dihantar ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

Menurutnya, setakat 3 Jun, sembilan negeri telah mengaktifkan unit vaksinasi bergerak antaranya di daerah Tenom dan Kinabatangan, Sabah; daerah Gua Musang dan Pasir Puteh; Kelantan dan daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar, Perak.

“Di Pulau Pinang pula, kerajaan telah memulakan perkhidmatan unit vaksinasi bergerak di lapan buah rumah jagaan orang tua setiap hari, manakala di Selangor, setiap daerah mempunyai unit vaksinasi bergerak sendiri.

“Kerajaan juga telah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi golongan OKU seperti di Malaysian Association for the Blind di Brickfields bagi OKU penglihatan bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat,”katanya sempena Perutusan Khas Berhubung Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu.

Tambah beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan juga telah memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan sasaran memberi vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Pusat Transit Gelandangan.

“Peningkatan kapasiti ini diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha kita untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: