Sekeluarga diserang gara-gara tegur bawa motor laju

Polis menahan lapan lelaki untuk siasatan kes serang seorang individu dan keluarganya di Klang pada Selasa.
Polis menahan lapan lelaki untuk siasatan kes serang seorang individu dan keluarganya di Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Polis menahan lapan lelaki selepas dipercayai terlibat menyerang seorang individu dalam kejadian di Jalan Sungai Jati, di sini kira-kira jam 7 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, satu laporan polis telah diterima pihaknya berkaitan kejadian sekumpulan lelaki menyerang pengadu dan keluarga.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, pengadu berusia 37 tahun itu mendakwa diserang dengan kayu, topi keledar selain turut dibaling batu serta botol kaca.

"Susulan itu, pada hari yang sama antara jam 9 malam hingga 10 malam, Polis Klang Selatan telah menahan lapan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di sekitar Klang.

"Polis turut merampas sebuah motosikal, sebuah kereta serta dua topi keledar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semakan mendapati, dua daripada suspek adalah adik-beradik selain tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai disebabkan adik pengadu menegur suspek kerana memandu laju di dalam kawasan perumahan.

"Kesemua suspek mengaku terlibat dengan kes tersebut. Mereka kini telah direman untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: