Hamas sedia runding pertukaran tahanan bersama Israel

Sinwar (kanan) menyambut mesra ketibaan Kamel di Genting Gaza pada Isnin. - Foto AFP
Sinwar (kanan) menyambut mesra ketibaan Kamel di Genting Gaza pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Gerakan Hamas pada Isnin bersedia untuk menyertai rundingan segera berhubung perjanjian pertukaran tahanan susulan konflik terbaru Israel-Palestin yang tercetus pada bulan lalu dan meragut 254 nyawa penduduk Palestin.

“Ia adalah masa yang sesuai untuk berunding secara tidak langsung tentang perkara tersebut,” kata Ketua Sayap Politik di Genting Gaza, Yahya Sinwar selepas kunjungan Ketua Risikan Mesir, Abbas Kamel yang cuba untuk melaksanakan gencatan senjata kekal antara rejim Tel Aviv dan Hamas selepas ia berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Sementara itu, seorang jurucakap Hamas memaklumkan rundingan Gaza akan memfokuskan tiga perkara utama iaitu pelaksanaan gencatan senjata untuk tempoh jangka masa panjang, perjanjian pertukaran tahanan dan pembinaan semula wilayah tersebut.

Pada Ahad, Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi telah mengetengahkan isu tersebut dengan menyatakan beberapa anggota tentera mereka dipercayai ditahan di Gaza walaupun Israel telah menahan lebih 5,000 tahanan Palestin sehingga Selasa.

Kali terakhir pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas dibuat pada 2011.

Di bawah langkah itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meluluskan pembebasan 1,027 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan anggota tentera, Gilad Shalit yang ditahan Hamas selama lebih lima tahun. - AFP

Artikel Berkaitan: