PKP: Kelab Liga-M boleh terus berlatih

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

KELAB Liga Malaysia (Liga-M) boleh menghela nafas lega apabila mendapat kebenaran kerajaan untuk meneruskan latihan secara camp based training dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 14 Jun depan.

Latihan secara camp based training itu bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari seperti yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media pada 28 Mei.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya berterima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang telah diberikan kepada kelab-kelab Liga Malaysia meneruskan latihan ketika ‘total lockdown’ fasa pertama ini.

“MFL selaku pentadbir Liga Malaysia ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan untuk memberikan kebenaran kepada kelab-kelab Liga Malaysia meneruskan latihan secara camp based training.

"Saya percaya ini juga akan memberikan kelegaan buat pasukan dalam membuat persiapan sebelum Liga Malaysia kembali bersambung pada Julai disebabkan penglibatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC selain penglibatan pemain-pemain yang bersama pasukan kebangsaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Selain daripada itu, MFL turut mengambil kira kuarantin selama 14 hari yang perlu dijalankan oleh pasukan yang terlibat apabila kembali ke ibu negara.

“Bukan itu sahaja, ia pasti banyak membantu kelab khususnya JDT yang turut akan mengharungi kejohanan (ACL) bermula 21 Jun manakala KDA dan TFC (Piala AFC) pada 22 Jun.

“Bagaimanapun, demi keselamatan serta kesihatan pegawai dan pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini. Lain-lain aktiviti seperti perlawanan persahabatan atau apa-apa aktiviti merentas daerah atau negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan berlainan kelak.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan dengan itu, MFL menggesa semua kelab memberi kerjasama yang baik agar mematuhi SOP yang dikuatkuasakan serta memberi kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan dan komisioner perlawanan yang dilantik MFL yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di peringkat pasukan.

“Sebarang kecuaian atau pelanggaran SOP akan mengakibatkan kelab boleh akan dikenakan tindakan oleh MFL atau Kerajaan Malaysia di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Ab Ghani, pemakluman terkini berhubung PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua kelab selaras dengan arahan kerajaan.

Setakat hari ini, empat kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC, UiTM FC dan PDRM FC serta Terengganu FC II daripada Liga Premier sudah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan latihan camp based training.