Rakyat digesa berhenti merokok

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Badan Profesional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa kepada semua rakyat mengambil langkah berhenti merokok dengan tema tekad untuk berhenti.

Menurut kenyataan bersama gabungan tersebut, gesaan tersebut bersempena dengan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2021 pada 31 Mei ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebarang bentuk amalan merokok termasuk rokok, rokok elektrik dan shiha yang boleh menyebabkan komplikasi teruk jika dijangkiti virus Covid-19.

“Perkara ini merupakan realiti di negara kita sendiri di mana kajian ke atas 5,889 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital pada 1 Februari sehingga 31 Mei tahun lalu menunjukkan golongan ini berisiko hampir dua kali ganda untuk mendapatkan komplikasi paru-paru, kegagalan buah pinggang dan hati,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Kenyataan tersebut diterajui oleh 59 NGO iaitu Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram berkata, amalan merokok merupakan penyebab utama daripada 15 jenis kanser.

“Kami telah berusaha gigih bagi memperkasakan semua rakyat Malaysia untuk melindungi mereka daripada bahan-bahan ini.

“Melalui ini, adalah menjadi harapan kami bahawa kita akan dapat mengurangkan kadar rakyat Malaysia yang terjejas akibat kanser,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: