Kanak-kanak 10 tahun gagal dalam rayuan peroleh kerakyatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, yang bapanya warganegara Malaysia manakala ibunya rakyat Filipina bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia dengan keputusan majoriti 4-3.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata, kanak-kanak tersebut tidak memenuhi kriteria yang diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kanak-kanak itu dilahirkan di Filipina pada September 2010. Beberapa bulan kemudian, dia bersama kedua-dua ibu bapanya ke Malaysia sebelum pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia pada Februari 2011.

Presiden Mahkamah Rayuan itu menjelaskan, pengesahan kanak-kanak berkenaan selepas kelahirannya menghalangnya daripada menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa kewarganegaraan berdasarkan undang-undang harus ditentukan pada saat kelahirannya, bukan selepas itu," katanya.

Kanak-kanak berkenaan, yang identitinya dirahsiakan, memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia berdasarkan Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang atau bagaimana seseorang secara automatik menjadi warganegara jika syarat di bawah Persekutuan Jadual Kedua Perlembagaan dipenuhi.

Keputusan majoriti yang menolak rayuan kanak-kanak itu terdiri daripada Rohana dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim manakala Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebaliknya.

Bapa kanak-kanak itu telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anaknya namun ditolak tanpa sebarang alasan yang sah pada tahun 2012.

Artikel Berkaitan:

Melalui bapanya, dia memfailkan saman pemula memohon perisytiharan bahawa dia adalah warganegara Malaysia dan perintah mendesak Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran serta kad pengenalan Malaysia kepadanya.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula itu selepas memutuskan bahawa kanak-kanak tersebut tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia kerana ibunya bukan warganegara Persekutuan Malaysia ketika dia dilahirkan.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Februari 2019.

Kanak-kanak itu diwakili sepasukan peguam yang diketuai Datuk Dr Cyrus Das, memperoleh kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 15 Oktober 2019 bagi membolehkan empat isu perundangan dalam kes itu diputuskan.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata, Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah, adalah mengikut kewarganegaraan ibunya yang dianggap diperolehnya kerana telah menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh Pemerintah Filipina semasa melakukan perjalanan.

Dalam keputusan yang membenarkan rayuan kanak-kanak itu, Tengku Maimun berkata, kanak-kanak itu telah memenuhi semua syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kerana tidak ada pertikaian mengenai bapa kandung anak itu.

Beliau menjelaskan, perkataan 'bapa' dalam Seksyen 1 (b) dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung anak itu, sambil menambah bahawa sama ada seseorang itu tidak sah atau tidak adalah fakta yang tidak relevan dalam menentukan hak mereka untuk kewarganegaraan dengan syarat bahawa identiti bapa kandung mereka diketahui.

Nallini dan Lim juga menyampaikan penghakiman berasingan dalam menyokong penghakiman Tengku Maimun itu.

"Bagi menghalang anak yang secara tidak sengaja waktu kelahirannya dan status perkahwinan ibu bapanya, daripada kewarganegaraan, yang kedua-duanya tidak boleh dikawalnya, adalah membuatnya menderita akibat tindakan ibu bapanya. Adakah itu tujuan dan maksud peruntukan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan?” soal beliau.

Sementara itu, Lim dalam keputusannya berkata, beliau berpendapat bahawa hakikat bapa kanak-kanak itu tidak menikahi ibunya pada saat kelahirannya tidak menghilangkan haknya untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Responden diwakili sepasukan peguam kanan persekutuan yang diketuai oleh Shamsul Bolhassan. -Bernama