LRT bertembung: Enam penumpang kritikal

Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC dibawa keluar untuk dihantar ke hospital. - Foto Bernama
Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC dibawa keluar untuk dihantar ke hospital. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai enam penumpang insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung pada Isnin berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tiga daripada mereka sedang berada di dalam bilik pembedahan.

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba

"Tiga lagi memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, 58 penumpang yang turut dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan stabil.

"Wad pembedahan telah diaktifkan untuk menempatkan mereka," katanya.

Beliau berkata, insiden tersebut tidak membebankan ICU HKL yang kini turut bergelut merawat pesakit Covid-19.

"Wad Covid-19 tidak terganggu kerana kita masih dapat menggunakan sumber yang ada dan ventilator sedia diagihkan untuk kegunaan pesakit Covid-19 dan pesakit lain yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Adham berkata demikian mengulas mengenai situasi yang dihadapi oleh HKL.

Pada Isnin, seramai 64 daripada 213 penumpang yang terlibat dalam kemalangan dua buah tren di dalam terowong ketika perjalanan antara stesen Kampung Baru dan KLCC dimasukkan ke hospital.