Pembantu kebun culik kanak-kanak perempuan dijel

Tertuduh dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan culik kanak-kanak di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa.
Tertuduh dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan culik kanak-kanak di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Seorang pembantu kebun dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini pada Selasa selepas mengaku salah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, minggu lalu.

Majistret A Hafiizh Abu Bakar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhamad Faizzuan Zulkifli, 24, mengaku salah atas tuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara itu dilaksanakan dari tarikh ditangkap selain memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menculik kanak-kanak terbabit daripada jagaan ibu kandungnya yang berusia 37 tahun di hadapan sebuah kedai haiwan di Seri Manjung, kira-kira jam 11.30 pagi, Khamis lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu ibu mangsa meninggalkan anaknya di dalam kereta jenis Perodua Bezza dan selepas 15 minit berada di dalam kedai terbabit, pengadu telah menghantar pesanan WhatsApp dan menghubungi anaknya namun, panggilan tidak dijawab.

Apabila pengadu keluar didapati keretanya tiada di tempat letak kereta dan ternampak tertuduh memandu kereta di hadapan kedai. Pengadu cuba menghalang tetapi tertuduh terus memecut dan pada masa sama pekerja kedai telah menghubungi polis.

Tertuduh telah kembali ke tempat kejadian sebelum ditangkap dengan bantuan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Khoo Kok Tong memohon dikenakan hukuman ringan kerana itu kesalahan pertama dilakukan selain pendapatan bulanannya hanya sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil memohon hukuman setimpal diberikan berikutan tindakan tertuduh itu mendatangkan pelbagai impak kepada mangsa.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berjaya diselamatkan orang ramai dalam kejadian samun kenderaan di hadapan sebuah premis di Seri Manjung, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa ditinggalkan sendirian di dalam kereta jenis Perodua Bezza ketika enjin dan pendingin hawa masih hidup dengan tidak berkunci sebelum kenderaan itu dilarikan penjenayah.

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki larikan kereta bersama kanak-kanak direman