Kerani akaun rugi RM101,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SIBU - Seorang kerani akaun berusia 37 tahun kerugian RM101,000 setelah menjadi mangsa penipuan Macau pada Selasa minggu lalu, kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisoner Stanley Jonathan Ringgit pada Isnin.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di kawasan perumahan di Jalan Satria di sini menyedari dirinya ditipu selepas membuat 12 kali transaksi pembayaran ke enam akaun bank yang dimiliki individu berbeza.

“Kejadian bermula pada jam 8.30 pagi hari tersebut apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai Telekom Malaysia dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan bagi nombor telefon 09-5136911 di Kuantan, Pahang berjumlah RM537.45,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, mangsa kemudian dihubungkan kepada seorang anggota polis bernama Sarjan Johari yang membuat semakan dan mendapati mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Beliau turut menerima panggilan daripada seorang lagi anggota polis bernama Sarjan Albert Lai yang memaklumkan pihak mereka akan membuat siasatan.

Tidak cukup dengan itu, sindiket penipuan itu terus memberikan tekanan kepada mangsa dengan menghantar mesej menerusi seorang lelaki bernama Tuan Ling yang memberitahu pihaknya ada menghantar satu surat notis perintah penangkapan dan perintah pembekuan aset-aset atas nama pengadu.

Lelaki itu kemudiannya menghantar satu lagi notis kononnya daripada Jabatan Audit Negara yang memaklumkan mangsa perlu membuat pembayaran berjumlah RM12,800 untuk pihak mereka menyiasat sama ada wang tersebut wang haram atau tidak.

Lantaran daripada itu, mangsa yang telah masuk perangkap penipuan itu membuat enam transaksi pembayaran masing-masingnya sebanyak RM12,800, RM50,000, RM5,000, RM18,500, RM10,000 dan RM4,700 ke dalam akaun-akaun yang diberikan sindiket berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu pada Sabtu lepas. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Stanley. - Bernama