Bayi 14 bulan maut jatuh katil rumah pengasuh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DUNGUN - Bayi lelaki berusia 14 bulan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari katil rumah pengasuhnya di Paka di sini dalam kejadian pada Sabtu.

Mangsa, Khaleel Islam Mohamad Ehafizuddin, 14 bulan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bayi berkenaan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di dalam kepala dan keretakan tulang kepala.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dalam kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh dari katil ketika bermain di bilik tidur pengasuhnya yang berusia 24 tahun.

"Suspek memaklumkan mangsa sedang bermain sambil melompat-lompat sebelum cuba mengambil kepala pengecas telefon yang terjatuh dan terjatuh secara terlentang ke belakang lalu kepalanya terhentak di lantai.

“Suspek mendakwa kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat untuk memegang mangsa.

"Suspek terus menghubungi ibu mangsa memaklumkan kejadian menimpa bayinya sebelum wanita tersebut memaklumkan kepada suaminya kira-kira jam 10.20 pagi meminta ke rumah suspek dengan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Baharudin berkata, semasa tiba di rumah suspek, mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Paka di sini dan seterusnya dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Kes di siasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dan sehingga hari ini (Isnin) tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.