Suami isteri disamun, dibelasah

Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim
Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim
A
A
A

PENAMPANG - Bukan saja disamun, tetapi turut dibelasah. Itu nasib malang yang menimpa sepasang suami isteri yang sedang berehat di kawasan berhampiran gelanggang futsal di Putatan pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pasangan suami isteri berusia 30-an terbabit berada di dalam kenderaan dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah, namun berhenti di tepi jalan untuk berehat kerana masih di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika sedang berehat, pasangan itu didatangi dua lelaki menaiki motosikal lalu memecahkan tingkap kereta menggunakan batang besi panjang.

"Ketika itu berlaku pergelutan sebelum suspek memukul mangsa menggunakan senjata tajam di bahagian kepala, manakala isterinya cedera di bahagian dahi dan lutut akibat ditarik keluar oleh suspek.

"Kedua-dua suspek terus melarikan diri bersama beg duit berisi wang tunai milik mangsa selepas menyedari terdapat kenderaan lain melalui lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Haris berkata, pasangan suami isteri telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) menggunakan ambulans.

"Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkawan bersenjata," katanya.

Artikel Berkaitan: