X

Kindly register in order to view this article
!

Treler bawa balak saiz 'luar biasa' dari Terengganu

Treler membawa balak bersaiz luar biasa ditahan untuk pemeriksaan di RNR Gombak setelah ia tular melalui laman sosial Facebook pada Ahad. - JPNP
A
A

KUANTAN - Kayu balak bersaiz 'luar biasa' dibawa sebuah treler yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sebagaimana yang tular di laman sosial pada Ahad bukan dari hutan Pahang.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan, treler bersama muatan kayu balak itu difahamkan dalam perjalanan dari Terengganu menghala ke sebuah kilang kayu di Selangor.

"Treler tersebut telah ditahan untuk pemeriksaan di RNR Gombak dan semakan oleh pihak JPNP mendapati kenderaan berat bersama muatan itu adalah sepertimana yang diviralkan melalui akaun Facebook milik seorang aktivis alam sekitar.

“Bagaimanapun hasil semakan mendapati maklumat lori dan balak yang dibawa sama dengan butiran yang dinyatakan dalam pas pemindahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu," jelas JPNP melalui satu kenyataan pada Isnin.

Anggota JPNP melakukan pemeriksaan ke atas balak yang dibawa menggunakan sebuah treler yang tular sebelum mendapati ia dipindahkan secara sah dari Terengganu ke Selangor. - JPNP
Anggota JPNP melakukan pemeriksaan ke atas balak yang dibawa menggunakan sebuah treler yang tular sebelum mendapati ia dipindahkan secara sah dari Terengganu ke Selangor. - JPNP

Melalui kenyataan itu, JPNP menghargai aduan berhubung perkara tersebut dan berharap ia disalurkan secara terus ke jabatan atau agensi kerajaan berkaitan termasuk JKNP agar tindakan lebih pantas dapat diambil.

"Jabatan ini sentiasa peka dan bertanggungjawab terhadap semua aduan yang dilaporkan bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil demi menjaga serta memelihara khazanah hutan negeri,"jelasnya.

Terdahulu, aktivis berkenaan memuat naik gambar lori yang membawa kayu balak besar yang sempat dirakam ketika berhenti di RNR Temerloh pada petang Ahad.

Berdasarkan keterangan gambar yang disertakan bersama gambar-gambar dikongsikan, beliau curiga dengan kayu balak itu yang disyaki dari hutan simpan dilindungi berdasarkan saiznya yang begitu besar.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!