Pas kumpul dana #Aid4Palestine RM12 juta

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berjaya membuat kutipan dana #Aid4Palestine sebanyak RM12 juta untuk fasa pertama yang bermula 1 Syawal lalu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kutipan itu dibuat melalui Dewan Pas Negeri yang disumbangkan kepimpinan dan ahli parti serta orang ramai.

Katanya, kutipan fasa kedua juga akan disambung bagi membolehkan sebanyak mungkin dana dikumpul untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

"Bagi pihak parti, saya rakam penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha walaupun tempoh kita untuk beberapa hari sahaja.

"(Kutipan) RM12 juta ini satu pencapaian yang amat luar biasa kerana tempoh masa yang sangat pendek.

"Dana yang dikumpulkan ini akan digunakan untuk kebajikan, kesihatan dan pendidikan bagi membina semula kehidupan saudara kita di bumi Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Palestin yang disiar secara langsung melalui Facebook TV Pas dan Pas Relief pada Sabtu.

Penyerahan kutipan dana oleh Dewan Pas Negeri yang dibuat menerusi sidang video itu menyaksikan Terengganu merekokan kutipan tertinggi iaitu RM3.7 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kesemua dana yang berjaya dikutip itu akan disalurkan kepada Palestin.

"Saya bagi pihak parti memberi jaminan bahawa setiap sen yang disumbangkan ini akan diterima oleh saudara kita di Palestin.

"Doakan ALLAH SWT mudahkan urusan ini dan doakan mudah-mudahan sahabat kita terus tabah, sabar sehingga ALLAH SWT beri kemenangan kepada rakyat Palestin," katanya.