Apa akan terjadi selepas gencatan senjata Israel-Hamas?

Beberapa penduduk Palestin melihat sebuah unit kediaman yang musnah dibedil oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP
Beberapa penduduk Palestin melihat sebuah unit kediaman yang musnah dibedil oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

SATU gencatan senjata antara Israel dengan pergerakan Hamas serta Jihad Islam berjaya dicapai dan berkuat kuasa pada jam 2 pagi Jumaat waktu tempatan bagi menamatkan pertempuran yang sudah berlanjutan selama 11 hari itu.

Rejim Zionis dilaporkan menerima gencatan senjata itu tanpa syarat yang diusahakan oleh Mesir iaitu negara berjiran dengannya dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel setelah lebih 200 penduduk Palestin terkorban dan hampir 2,000 lagi cedera dalam pertempuran tersebut.

Pertempuran itu bermula pada 10 Mei lalu selepas pasukan polis rejim Zionis tidak mengikut kata dua Hamas supaya berundur daripada Masjid al-Aqsa iaitu lokasi para penunjuk perasaan yang membantah pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah-rumah mereka di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Gencatan senjata itu dicapai setelah sejumlah bangunan Palestin musnah dalam serangan udara tentera rejim Zionis tersebut dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden masuk campur bagi mempengaruhi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya menghentikan serangan udara tersebut.

Justeru, adakah terdapat perubahan besar di Gaza dan Tebing Barat selepas pertempuran sengit itu berakhir pada awal pagi Jumaat lepas?

Apa yang pasti ialah Israel masih menjajah Genting Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diperolehnya menerusi Perang Enam Hari yang berlaku pada Jun 1967 dan didiami oleh ramai penduduk Palestin.

Gambar menunjukkan sebuah bangunan runtuh akibat dibom oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP
Gambar menunjukkan sebuah bangunan runtuh akibat dibom oleh tentera rejim Israel di Gaza baru-baru ini. - Foto AFP

Timbalan Pengarah Majlis Program Asia Barat Atlantic, Tuqa Nusairat berkata, aktiviti-aktiviti penempatan haram Yahudi akan diteruskan manakala penduduk Palestin terpaksa berpindah dari penempatan asal mereka.

Artikel Berkaitan:

Portal Majlis Atlantic yang memetik beliau sebagai berkata bahawa sebelum ini, pihak berkuasa rejim Zionis telah memusnahkan lebih 700 rumah penduduk Palestin, perniagaan mereka, kemudahan infrastruktur pada tahun lalu.

Sebahagian lagi penduduk Palestin juga kehilangan rumah-rumah mereka di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada tahun 2020 dan pada setiap tahun sejak tahun 2016 lagi.

Kerakusan Israel itu masih berlaku selagi ia menjajah tanah-tanah penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Mahkamah Agung Baitulmaqdis akan membuat keputusan rayuan tentang pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah-rumah mereka di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur setelah ia menangguhkan keputusan yang sepatutnya dibuat pada awal bulan ini.

Keputusan rayuan pengusiran itu sepatutnya dibuat pada awal bulan ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran tunjuk perasaan penduduk Palestin bagi membantah pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah-rumah mereka yang dibuat oleh sebuah mahkamah daerah Baitulmaqdis pada awal tahun ini.

Mahkamah Agung itu pula akan mengeluarkan keputusan rayuan selepas keluarga-keluarga Palestin itu mengemukakan rayuan berhubung arahan pengusiran oleh mahkamah daerah tersebut sebelum ini.

Satu lagi perkembangan yang perlu dilihat ialah adakah pasukan polis Israel akan bertempur semula dengan penunjuk-penunjuk perasaan itu sehingga mengakibatkan ratusan daripada mereka cedera sebelum pertempuran terjadi antara tentera rejim Zionis dengan Hamas serta Jihad Islam?

Dalam pada itu, adakah Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang menjanjikan bantuan sebanyak AS$500 juta (RM2.07 bilion) untuk membantu pembangunan semula di Gaza akan ditunaikan sepenuhnya?

Sebelum ini, Sisi menyatakan negaranya akan menyediakan bantuan tersebut untuk membantu proses pembangunan semula yang menyaksikan sebuah makmal saringan Covid-19 di sebuah klinik di Gaza musnah akibat dibedil oleh tentera udara Israel baru-baru ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 40,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan udara rejim Zionis itu.

Mesir juga menghantar 65 tan bantuan perubatan ke Gaza dan membuka lintasan sempadan Rafah bagi membolehkan ambulans-ambulans menghantar pesakit-pesakit yang cedera akibat serangan udara tentera Israel ke hospital-hospital di Mesir bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Sebelum ini, lintasan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu sempadan ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel ditutup oleh Mesir atas sebab-sebab keselamatan.

Pilihan raya perundangan dan pilihan raya Presiden Palestin yang masing-masing sepatutnya diadakan pada 22 Mei dan 31 Julai ini tetapi terpaksa ditangguhkan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas seperti diumumkannya pada April lalu juga menjadi tumpuan sama ada ia akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Abbas pada 30 April lalu mengumumkan pilihan raya itu terpaksa ditangguhkan kerana Israel tidak membenarkan pengundian dilakukan oleh penduduk Palestin yang tinggal di Baitumaqdis Timur.

Apa yang pasti, selepas gencatan senjata itu berlaku, adakah Israel bersetuju untuk menyelesaikan isu Asia Barat setelah cadangan penubuhan dua buah negara iaitu Israel serta Palestin mendapat sokongan Biden? - Agensi