Pesakit di PKRC diberi kemudahan terbaik

Dr Mohd Azman (kanan) melihat persiapan akhir PKRC Kota Bharu yang keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian pada 1 Mei lalu.- Foto Bernama
Dr Mohd Azman (kanan) melihat persiapan akhir PKRC Kota Bharu yang keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian pada 1 Mei lalu.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 1,044 pesakit Covid-19 ditempatkan di tujuh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) utama di Kelantan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, walaupun jumlah tersebut berubah setiap masa dan kadang kala melebihi kuota sebenar, namun kebajikan dan kemudahan pesakit-pesakit terbabit tetap dijaga dengan baik bagi memastikan mereka kembali sembuh.

Dr Mohd Azman
Dr Mohd Azman

Menurutnya, walaupun usaha itu melibatkan perbelanjaan yang tinggi, namun tiada satu pun kemudahan yang dikecualikan bagi memastikan pesakit merasakan seperti mendapat rawatan di rumah.

"Kita mempunyai lima hingga tujuh pegawai perubatan PKRC yang dilantik untuk jaga PKRC ini, tidak termasuk 15 hingga 20 anggota paramedik bagi setiap PKRC dengan jadual lengkap untuk setiap tugasan bagi memastikan pesakit mendapat perkhidmatan terbaik.

"Kita juga sediakan makanan lima kali sehari, makanan juga makanan terpilih yang berkhasiat untuk memberikan tenaga dan membantu pemulihan pesakit.

"Kami juga menyediakan ubat-ubatan bagi mereka yang mengalami gejala ringan dan sebagainya. Malah bilik air dan bilik mandi juga kita jaga sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini wujud pandangan sesetengah pihak yang memberi gambaran negatif terhadap kemudahan dan keselesaan di PKRC sehingga ada pesakit yang bertegas mahu melakukan kuarantin di rumah walaupun kediaman mereka tidak sesuai untuk menjalani rawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, tiada isu mengatakan pesakit tidak menerima layanan dan kemudahan yang baik sepanjang mendapat rawatan kerana apa yang disediakan di semua PKRC adalah sebagaimana diperlukan dan mengikuti ketetapan pihak kementerian.

Malah katanya, pasukan barisan hadapan yang bertugas juga sentiasa pantas memberikan laporan kepada pihaknya jika wujud sebarang masalah di mana-mana PKRC yang dibuka.

"Saya berharap selepas ini tiada lagi pandangan negatif mengenai kemudahan di PKRC dan sebagainya. Kepada mana-mana pesakit yang dikehendaki menjalani rawatan di PKRC, maka ikutlah arahan yang telah ditetapkan.

"Apa yang kami (barisan petugas) sediakan ini adalah yang terbaik untuk anda semua. Insya-ALLAH kami sudah lakukan sedaya upaya kami supaya anda semua kembali sembuh," katanya.