Syarikat swasta disaran bantu veteran tentera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat swasta perlu lebih proaktif membantu kerajaan dalam program membela kebajikan bakal pesara dan veteran tentera.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Mejar-Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, sokongan pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperlukan terutamanya dalam program penempatan pekerjaan dan industri latihan.

Menurut beliau keadaan ekonomi negara ketika ini agak mencabar dan keupayaan kerajaan memberikan peruntukan agak terhad.

Justeru itu kolaborasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama syarikat swasta dan GLC, mampu membantu bakal pesara dan veteran tentera untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata pesara dan veteran tentera merupakan individu terlatih, berdisiplin dan mempunyai kepakaran tertentu yang sesuai dengan permintaan pelbagai industri selain bidang keselamatan.

"Ada kepakaran yang dimiliki veteran ini yang boleh dimanfaat. Kita mempunyai tenaga kerja yang berdisiplin, sihat dan boleh menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan,” katanya selepas ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.

Beliau juga berkata bantuan yang diberikan oleh syarikat swasta dan GLC kepada pesara dan veteran ini, bukan sahaja dapat membela kebajikan mereka, malahan juga membalas jasa golongan ini yang telah berkhidmat menjaga keselamatan negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: