Perlis berdepan penyingkiran?

No Image Caption
A
A
A

NASIB Perlis sama ada akan terus beraksi dalam saingan Liga Premier 2019 atau sebaliknya akan ditentukan dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Difahamkan, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan meneliti secara terperinci segala dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagaimana yang diarahkan sebelum membuat sebarang keputusan terhadap nasib skuad Singa Utara itu.

Jika MFL membuat keputusan menyingkirkan Perlis daripada saingan Liga Premier 2019, tiada pasukan lain yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan skuad Singa Utara itu. Pada masa sama, mana-mana pasukan yang bakal menentang skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid itu akan dihadiahkan tiga mata.

Ketika diminta mengulas situasi tersebut, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pihaknya bersedia menerima sebarang kemungkinan yang bakal diputuskan MFL.

“Kami telah serahkan segala dokumen yang diperlukan MFL sebelum ini dan ikut segala kehendak mereka, selebihnya kita berserah serta bersedia menerima sebarang keputusan yang bakal diambil nanti,” ujarnya kepada Sukan Sinar di Wisma FAM, semalam.

Mengenai pertemuannya dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Ahmad Amizal memberitahu, ia lebih kepada memohon pandangan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Beliau (Hamidin) ada memberikan cadangan dan pendapat peribadi mengenai isu ini, kami akan cuba bertahan dan menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: