Wanita tumbuk perut penguat kuasa, baling pisau berang ditegur

Laluan tikus yang digunakan wanita berkenaan sebelum perbuatannya disedari penguatkuasa MBPP.
Laluan tikus yang digunakan wanita berkenaan sebelum perbuatannya disedari penguatkuasa MBPP.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis kini sedang mengesan seorang wanita yang bertindak menumbuk serta membaling pisau ke arah anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana berang ditegur menggunakan lorong tikus ketika masuk ke dalam Pasar Awam Pulau Tikus.

Kejadian berlaku pagi Ahad itu ketika penguat kuasa terbabit sedang melakukan pemantauan Pematuhan Op Covid-19.

Difahamkan wanita itu memasuki laluan berkenaan tanpa memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai MBPP berhubung kejadian itu pada jam 1.38 tengah hari Ahad.

“Daripada keterangan mangsa, wanita berkenaan menumbuk perut penguat kuasa sebelum masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arah pegawai MBPP yang bertugas.

“Wanita itu kemudiannya beredar dari lokasi dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Soffian berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati hasil maklumat saksi awam memaklumkan wanita itu kerap melakukan kekecohan setiap kali datang ke pasar tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas," katanya.

Artikel Berkaitan: