Cubaan curi ayam jantan bawa padah

Ahmad Faizol dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara selepas mengaku salah cuba mencuri seekor ayam jantan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Faizol dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara selepas mengaku salah cuba mencuri seekor ayam jantan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan mencuri seekor ayam jantan milik jiran akhirnya membawa padah apabila seorang lelaki dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Ahmad Faizol Hashim, 30, dari Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, yang memiliki beberapa rekod jenayah sebelum ini mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faizol didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didapati cuba mencuri seekor ayam jantan milik Rafeqhul Syazwan Yusof, 23, di tepi sebuah rumah di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, kira-kira jam 12.30 tengah malam, pada 16 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh tidak lebih tiga tahun setengah dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli dihadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: