Sembilan tahanan lolos mahu sambut Hari Raya

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahu menyambut Hari Raya Aidilifitri dipercayai punca sembilan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI), Manggatal, di sini, bertindak melarikan diri pada pagi Khamis.

Bagaimanapun, tiga daripada tahanan terbabit berjaya ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan manakala selebihnya sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Menurut sumber, semua tahanan terbabit berusia antara 20 hingga 40-an bertindak melarikan diri dengan memanjat tembok blok depoh berkenaan.

Mereka difahamkan melarikan diri ke arah belakang berhampiran sebuah perkampungan di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, operasi memburu semua suspek yang terbabit sedang dilakukan.

"Setakat ini belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera," katanya.

Usaha memburu semula tahanan yang melarikan diri dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, sekumpulan penghuni depoh tahanan itu dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah di lokasi kejadian.