Penduduk Palestin sengsara angkara serangan Israel

Seorang kanak-kanak cedera akibat serangan udara Tentera Israel dirawat di sebuah hospital di bandar Gaza pada Selasa lalu. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak cedera akibat serangan udara Tentera Israel dirawat di sebuah hospital di bandar Gaza pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

GAZA - Penduduk Palestin di Gaza terpaksa menghadapi penderitaan berikutan Tentera Israel memperhebatkan serangan udara ke atas sasaran-sasaran kumpulan pejuang seperti Hamas dan Jihad Islam sejak hari Isnin lalu.

Serangan-serangan udara itu yang menyasarkan kediaman-kediaman anggota kanan Hamas, anggota-anggota Jihad Islam serta ibu pejabat polis itu tidak mempedulikan nasib penduduk biasa Palestin sebelum ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Salah seorang penduduk wanita di sebuah kem pelarian Palestin di Gaza, Khitam Mohammed terjatuh ke lantai bersama dua anaknya selepas jet-jet pejuang Israel melakukan serangan di bangunan yang didudukinya.

Ibu yang berusia 45 tahun itu memberitahu portal berita Xinhua, dia seolah-olah tidak mempercayai bangunan lima tingkat yang didiaminya akan menjadi sasaran Tentera Israel pada waktu malam Isnin lalu.

Khitam menceritakan bahawa perkara yang diingatinya selepas pengsan dalam serangan Israel itu ialah kepulan asap hitam dengan bau serbuk letupan yang busuk setelah rejim Zionis melakukan serangan.

Serangan udara Israel itu merupakan detik-detik yang paling menakutkannya pernah berlaku dalam hidupnya sejak beberapa tahun lalu dan wanita tersebut berkata, tiada jaminan bahawa dia akan terus hidup berikutan serangan Israel.

Jiran Khitam, Iyad Radwan yang merupakan bapa kepada lima orang anak dan berusia 42 tahun itu memberitahu Xinhua baru-baru ini bahawa dia tidak tahu cara untuk menyelamatkan mereka tentera Israel melancarkan serangan.

Dia gembira bila semua ahli keluarganya terselamat dalam serangan udara rejim Zionis tetapi seorang wanita tua yang merupakan jirannya turut terbunuh dalam serangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Iyad mempersoalkan apalah kesilapannya yang menyebabkan bangunan kediamannya yang menempatkan lebih 15 keluarga menjadi sasaran serangan udara Tentera Israel itu.

Ketegangan antara kedua-dua pihak itu bermula selepas sebuah mahkamah di Baitulmaqdis pada awal tahun ini membuat keputusan penghakiman tentang pemilik tanah di kawasan penduduk Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur sehingga mengarahkan beberapa keluarga Palestin diusir dari kawasan tersebut.

Pengusiran itu dilakukan selepas beberapa peneroka tanah haram Yahudi mendakwa bahawa mereka merupakan pemilik sebenar tanah di tempat tinggal keluarga Palestin tersebut selepas membelinya dari dua buah persatuan Yahudi pada penghujung abad ke-19, kata sebuah kumpulan antipeneroka haram Yahudi, Peace Now.

Asap menjulang tinggi di langit ekoran serangan udara Tentera Israel di Genting Gaza pada 10 Mei lalu. - Foto AFP
Asap menjulang tinggi di langit ekoran serangan udara Tentera Israel di Genting Gaza pada 10 Mei lalu. - Foto AFP

Walaupun, keluarga Palestin itu menunjukkan bukti-bukti sokongan bahawa mereka memperoleh tanah-tanah itu secara sah dari kerajaan Jordan, tetapi mahkamah tersebut membuat keputusan yang tidak berpihak kepada mereka.

Namun, penduduk Palestin menyatakan mereka telah tinggal di Sheikh Jarrah sejak tahun 1950an lagi apabila ditempatkan di situ oleh kerajaan Jordan selepas melarikan diri atau dipaksa meninggalkan rumah masing-masing di Baitulmuqaddis Barat dan Haifa semasa perang berlaku yang menyaksikan tertubuhnya Israel secara haram pada tahun 1948.

Israel kemudian merampas Baitulmuqaddis Timur dari Jordan selepas rejim Zionis memenangi Perang Enam Hari pada tahun 1967 yang menyebabkan Israel kemudian membenarkan kemasukan para peneroka haram Yahudi untuk tinggal di Baitulmuqaddis Timur.

Ekoran itu, para penunjuk perasaan Palestin berkumpul di pekarangan Masjid Al-Aqsa untuk menyatakan bantahan terhadap pengusiran keluarga-keluarga Palestin itu sejak beberapa minggu lalu di masjid berkenaan.

Ketegangan kemudian kian memuncak apabila polis Israel bertempur dengan para penunjuk perasaan tersebut dan di tempat-tempat lain sehingga mengakibatkan 700 penduduk Palestin cedera semasa polis Israel cuba menyuaraikan mereka pada hari Jumaat lalu dengan menggunakan bom tangan gegaran, gas pemedih mata dan peluru getah.

Tentera Israel kemudian melancarkan serangan udara di Gaza pada Isnin lalu dengan menyasarkan para pejuang kanan kumpulan yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin sehingga mengakibatkan 48 orang Palestin maut sehingga Rabu lepas.

Ketegangan paling buruk dalam tempoh tujuh tahun itu turut menyebabkan 14 kanak-kanak dan dua penduduk Palestin di Tebing Barat terbunuh dalam serangan Tentera Israel.

Lima orang daripada sebuah keluarga terbunuh dalam serangan udara Tentera Israel di utara Gaza pada Selasa lalu apabila jet rejim Zionis tiba-tiba melakukan pengeboman ketika mereka sedang berkumpul.

Salah seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Ibrahim memberitahu AFP bahawa dia melihat badan sepupunya terbakar dan hancur akibat serangan Tentera Israel. - Agensi