PGA rampas beras siam di tepi sungai pangkalan haram

Beras yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Malaysia.
Beras yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Malaysia.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan 800 kilogram (kg) beras siam dan beras pulut siam dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi sungai di pangkalan haram Kuala Nat, Kuala Jambu di sini pada Isnin.

Beras dianggarkan bernilai RM4,400 itu dirampas dalam Operasi Benteng pada jam 7.45 malam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa penugasan Sempadan Malaysia-Thailand (Kelantan), pasukan rondaan melihat sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan di tepi sungai kawasan pangkalan haram Kuala Nat, Kuala Jambu.

“Anggota membuat pemeriksaan dan mendapati tiada pemandu. Pemeriksaan juga menjumpai barangan kontraban iaitu 800kg beras siam yang dipercayai diseludup dari negara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Selasa.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati beras itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di Malaysia.

"Semua barangan rampasan termasuk kereta dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSBPN) 1994.

Artikel Berkaitan: