Kerajaan perketat PKP seluruh negara

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Susulan kes harian positif Covid-19 menunjukkan trend peningkatan, kerajaan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan 11 pelaksanaan PKP bagi menggalakkan orang ramai duduk di rumah.

Pelaksanaan tersebut adalah seperti berikut:

1. Larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

2. Melarang semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis rasmi kerajaan dan swasta.

- Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

- Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

3. Melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

4. Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

- Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

5. Bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.

- Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

- Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

6. Dine-in di restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan.

- Penjualan makanan secara pandu lalu dan bungkus adalah dibenarkan.

7. Majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

- BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dari masa ke masa.

8. Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

9. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

- Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

10. Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan.

11. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan.

"Tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun.

"Sementara tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun," katanya pada Isnin.

Muhyiddin berkata, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei, Malaysia

sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan krisis nasional.

"Kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagia masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan lebih parah," katanya.

Beliau berkata, data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan fizikal dan keberadaan orang ramai dalam

ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.

"Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat," katanya.