Pelajar sekolah maut motosikal bertembung

Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
A
A
A

KEPALA BATAS- Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Pinang Tunggal di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa Muhammad Shauqi Muhammad Amin,15 dikatakan dalam perjalanan menuju ke sekolahnya namun dia dikatakan gagal mengawal motosikalnya sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama anaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat perlanggaran itu, ketiga-tiga mereka tercampak ke atas jalan raya dan pelajar berkenaan yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, penunggang motosikal berusia 49 tahun yang terlibat dengan kejadian itu mengalami patah kaki dan luka di bahagian muka dan tangan manakala anaknya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kaki dan kepala.

"Dua mangsa yang tercedera itu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya.

"Semakan yang dibuat mendapati, pelajar sekolah terbabit tidak mempunyai lesen motosikal dan bedah siasat yang dilakukan ke atasnya mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dilakukan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: