Hadi kutuk serangan biadab Zionis di Masjid al-Aqsa

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecam sekeras-kerasnya serangan biadab rejim Zionis Israel ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis.

Beliau berkata, serangan berkenaan menyebabkan lebih 178 rakyat Palestin yang sedang berkumpul di pekarangan masjid mengalami kecederaan.

"Tentera rejim Zionis Israel bertindak biadab dengan melemparkan bom tangan dan bom asap, malah melakukan serangan dengan menembak para jemaah di dalam Masjid al-Aqsa menggunakan peluru getah.

"Tentera rejim Zionis Israel turut menahan ramai jemaah Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin yang berlindung di dalam mahupun di pekarangan Masjid al-Aqsa.

"Sememangnya tindakan ini sangat tidak berperikemanusiaan dan menambah luka umat Islam tatkala mereka sedang menunaikan solat dan beribadat di penghujung Ramadan bulan yang mulia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Hadi sehubungan itu meminta seluruh umat Islam bermunajat kepada ALLAH SWT untuk kesejahteraan umat Islam di sana.

"Selain itu, bersama-sama kita meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds. Isu Palestin melangkaui isu umat Islam dan ini merupakan isu kemanusiaan sejagat," kata beliau.

Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan seluruh dunia Islam supaya mengambil tindakan tegas dan bertindak terhadap tindakan rejim Zionis Israel itu.

Artikel Berkaitan: