X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas tanggal 'gelang pink' dikompaun RM5,000

Wanita berusia 72 tahun itu didapati menanggalkan dan meninggalkan gelang tersebut di rumah telah keluar ke klinik untuk mengambil ubat.
A
A

RAUB - Seorang warga emas yang memakai gelang merah jambu dari Kampung Sungai Ruan, di sini dikompaun RM5,000 kerana melanggar kuarantin kendiri di rumah dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Wanita berusia 72 tahun itu didapati menanggalkan dan meninggalkan gelang tersebut di rumah telah keluar ke klinik untuk mengambil ubat.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, maklumat diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Raub apabila pihak PKD menelefon wanita itu untuk memberitahunya positif Covid-19.

"Setibanya pihak polis di rumah wanita itu, dimaklumkan dia telah keluar ke klinik oleh penghuni rumah.

"Sebaik tiba di klinik, warga emas tersebut mengaku telah menanggalkan gelang merah jambu yang dipakai dan meninggalkannya di rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, wanita tersebut telah dikompaun di bawah Perkara 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana gagal kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, tiga lelaki berusia 65, 59 dan 72 tahun turut dikompaun dalam kawasan PKPD kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, ketiga-tiga individu itu telah berkumpul dengan tiada penjarakan fizikal di kawasan umum.

"Kesemua individu itu dikompaun di bawah Seksyen 25(a) PPPDPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!