Lelaki 'gelang pink' pergi pasar raya dikompaun RM5,000

Tular gambar lelaki yang memakai gelang merah jambu terbabit sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya.
Tular gambar lelaki yang memakai gelang merah jambu terbabit sedang membuat pembayaran di kaunter pasar raya.
A
A
A

RAUB - Seorang lelaki yang merupakan pemakai gelang merah jambu dari Kampung Sungai Ruan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini dikompaun RM5,000 selepas didapati ingkar kuarantin kendiri dengan pergi ke pasar raya pada Rabu.

Lelaki berusia 48 tahun itu memberikan alasan dia menyangka hanya tidak dibenarkan keluar dari kawasan Sungai Ruan selain tidak diberikan penjelasan teliti oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa pemakai gelang merah jambu tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed memberitahu, lelaki itu dikompaun selepas gambarnya dimuat naik di laman sosial Facebook Penduduk Raub oleh seorang individu yang memaparkan dia sedang membuat pembayaran di kaunter sebuah pasar raya di Pekan Sungai Ruan di sini pada Rabu.

Pihak polis menyerahkan kompaun kepada lelaki terbabit pada Khamis selepas ingkar SOP dan gagal kuarantin kendiri di rumah. - Pic ihsan PDRM
Pihak polis menyerahkan kompaun kepada lelaki terbabit pada Khamis selepas ingkar SOP dan gagal kuarantin kendiri di rumah. - Pic ihsan PDRM

"Alasan sebegini adalah tidak munasabah dan amat dikesali kerana masih ada yang degil, ingkar dengan arahan ditetapkan.

"Lelaki tersebut telah dikompaun di bawah Perkara 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2020 kerana gagal kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Kama juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terlihat atau mengetahui perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) terutama mereka yang dikenakan perintah kuarantin.

Artikel Berkaitan: