Speaker tolak usul insiden rusuhan kuil

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usul tergempar yang dikemukakan oleh anggota Parlimen untuk membahaskan di Dewan Rakyat berkenaan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, ditolak.

Perkara itu diumum Yang DiPertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Ariff Md Yusof pada persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) sama ada usul beliau ditolak dan usul yang sama oleh pihak penyokong kerajaan diterima.

Pada Selasa lalu, ahli Parlimen kedua-dua belah pihak telah mengemukakan dua usul mengenai perkara itu secara berasingan kepada Mohd Ariff.

Fahmi Fadzil (PH-Pantai Dalam) telah mengemukakan usul itu bagi pihak pengubal undang-undang penyokong kerajaan dan ahli Parlimen Bebas manakala Kiandee mewakili pembangkang untuk mengemukakan usul tersebut, supaya ia dapat dibahaskan hari ini.

Mohd Ariff menjelaskan beliau juga telah memaklumkan kepada pihak penyokong kerajaan mengenai keputusan itu.

“Tidak. Mereka pun dah dibagitahu. Kedua-dua usul ditolak,” kata Mohd Ariff.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan penerangan di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (i) bagi menjelaskan isu kekecohan di kuil berkenaan dalam Dewan Rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: