Bangkitlah Sri Pahang FC

Sri Pahang FC gagal meraih kemenangan dalam enam aksi terakhir Liga Super. -Foto FB SRI PAHANG FC
Sri Pahang FC gagal meraih kemenangan dalam enam aksi terakhir Liga Super. -Foto FB SRI PAHANG FC
A
A
A

PRESTASI hambar Sri Pahang FC dalam kempen Liga Super 2021 mendapat perhatian putera Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bersemuka dengan barisan kejurulatihan dan pemain pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan perkembangan itu yang menyaksikan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah hadir ke sesi latihan pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

"Tengku Muhammad (Iskandar) hadir (sesi latihan pasukan) untuk beri suntikan semangat dan kata-kata motivasi kepada pemain menjelang pertemuan menentang UiTM FC," katanya.

Dalam pertemuan itu, Tengku Muhammad Iskandar mahu Sri Pahang FC yang kini berada di zon penyingkiran, bangkit berjuang sehingga ke penghujung musim selepas mencatat hanya satu kemenangan dan dua seri dalam 10 aksi terakhir.

"Sudah, saya tidak mahu dengar alasan lagi, I want you all to work as hard as you can (saya mahu anda semua bekerja sekeras mungkin) sampai habis musim ini, berapa bulan saja lagi, awak boleh rehat lepas bulan 11 (saingan Liga-M tamat), empat bulan berehat.

"Tetapi sekarang harus kerja keras, kecergasan kena dipertingkatkan balik dan (gaya) pemikiran kena tukar," kata Tengku Muhammad Iskandar dalam video yang dikongsikan menerusi laman Instagram rasmi miliknya, @tabtms.

Sri Pahang FC yang mengharungi enam perlawanan terakhir tanpa sebarang kemenangan akan melayani kunjungan pasukan tercorot, UiTM FC di Stadium Daruk Makmur, Kuantan pada Sabtu.

Lebih memburukkan keadaan apabila skuad bimbingan Dollah Salleh telah dibolosi 18 gol dan hanya meledak enam jaringan selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak nak marah, saya cuma nak suruh awak (semua pemain) bangun sikit, awak semua bagus, you all good and can do it (anda semua bagus dan boleh lakukannya),” kata Tengku Muhammad Iskandar.