904 kes positif Covid-19 berkaitan bazar Ramadan dikesan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 904 kes positif Covid-19 dilaporkan mempunyai kaitan dengan kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negara.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya berkata, data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) yang telah dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bazar Ramadan merupakan kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19.

"Sistem HIDE bertujuan untuk memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera," katanya pada Jumaat.

Menurut kementerian itu, laporan HIDE menunjukkan bahawa angka kontak rapat juga tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan.

"Merujuk kepada arahan KPKT bagi penutupan operasi bazar Ramadan yang disahkan sebagai kawasan berisiko tinggi, daripada jumlah 1,073 bazar Ramadan yang sedang beroperasi di seluruh negara, hanya 22 telah diarahkan untuk menutup operasi berkuat kuasa 1 Mei," katanya.

Kata kementerian itu, penutupan bazar Ramadan berkenaan bagi tempoh tiga hari dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April.

"Ia bertujuan untuk kerja-kerja sanitasi dan memperkemaskan semula prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan tersebut,' katanya.

KPKT menerusi surat edaran yang ditandatangani oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, ancaman penularan Covid-19 hasil analisa pengesanan kontak (contact tracing) yang dijalankan KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

Bazar Ramadan itu melibatkan empat di Johor iaitu Bazar Ramadan Belatuk Taman Scientex, Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching, @Mart Kempas dan Lok Heng.

Di Kedah pula, tiga bazar Ramadan turut tersenarai iaitu Taman Selasih, Baling 2021, dan Kupang 2021 sementara dua di Pahang yang membabitkan Lurah Semantan serta Temerloh Jaya.

Di Pulau Pinang, terdapat tujuh bazar Ramadan yang turut diarah tutup iaitu MPKK Jalan Tenggiri, Attakwa Taman Bertam Indah, Bazar Ramadhan, Kampung Melayu, Masjid Daerah Barat Daya, Iftar Ramadan Jalan Berangan Bukit Bintang 2021 dan Bukit Gedung.

Bazar Ramadan Taman Tun Sardon dan Pusat Penjaja Sementara Puncak Jalil di Selangor turut tersenarai.

Bazar Ramadan Jalan Setiawangsa dan Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur serta Bazar Nenas Kampung Selabak di Perak termasuk dalam senarai tersebut.