Tiga rakan didakwa bunuh tukang masak

Seramai tiga lelaki (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang tukang masak, hampir dua minggu lalu.
Seramai tiga lelaki (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang tukang masak, hampir dua minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang tukang masak kira-kira dua minggu lalu.

Muhammad Amirul Mohamad Ali, 21; Muhammad Muazzam Ahmad Ruzaini, 20 dan Muhammad Hafiz Daniel Norirman, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkod daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh G Sharvin, 21, di sebuah apartmen di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya di sini pada jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, 18 April lalu.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak.

Dua daripada tertuduh iaitu Muhammad Muazzam dan Muhammad Hafiz Daniel diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 4 Jun depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 April lalu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang tukang masak di sebuah pangsapuri di Jalan Kemajuan Subang di sini, dengan mayatnya disumbat dalam sebuah beg pakaian.

Mangsa dipercayai dibunuh pada jam 12.30 tengah malam sebelum suspek menghumban beg berisi mayat mangsa ke dalam tong sampah dan ditinggalkan di tepi jalan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Persiaran Kewajipan, di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh rakan serumah akibat dendam, sering dibuli