Sindiket judi online sewa banglo

Sebuah banglo di Taman Orkid Desa, Kuala Lumpur yang dijadikan pusat panggilan judi online diserbu polis pada Rabu.
Sebuah banglo di Taman Orkid Desa, Kuala Lumpur yang dijadikan pusat panggilan judi online diserbu polis pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur menyerbu sebuah banglo yang disewa dan dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Taman Orkid Desa di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11.45 malam itu, seramai 18 individu termasuk lima lelaki dan wanita warga China ditahan.

Beliau berkata, operasi itu turut merampas 109 telefon bimbit, satu unit modem, dua router, 27 set komputer riba, wang tunai RM54,000 dan mata wang asing dengan keseluruhan nilai dianggar berjumlah RM300,000.

"Sindiket yang mempromosikan perjudian atas talian ini sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dipercayai meraih keuntungan harian mencecah RM100,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati mereka menyewa kediaman pada kadar RM25,000 sebulan manakala setiap pekerja menerima upah di antara RM 5,000 hingga RM 7,000 sebulan.

"Penjaga premis pula menerima upah sebanyak RM 15,000 sebulan," katanya.

Tegas Saiful, kesemua suspek berusia 18 hingga 39 tahun akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Justeru, Polis Kuala Lumpur mengingatkan supaya orang ramai tidak terlibat dengan kegiatan perjudian atas talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.